Sunday 17 March 2013

Cerpen : Kebetulan Yang Cukup Indah 1


Suasana senja dengan redup cahaya matahari yang memancar adalah sesuatu yang sangat dirindui bila sudah terlalu lama tidak balik bercuti. Kesibukan bekerja menuntutku untuk sering menghabiskan masa hujung minggu di ofis menyiapkan kerja yang tidak pernah nampak surutnya.

"Hey, Balik lah wei.. Ikutkan kerja tu, sampai kiamat pun tak habis." Danial yang lalu di hadapan bilik berhenti sekejap melihatku yang tekun menatap laptop. Sapaannya menganggu tumpuanku dan beralih melihat dia yang sudahpun melurutkan tali lehernya. 2 butang kemeja yang teratas sudah pun terbuka. Nampak wajahnya jelas kelesuan.

"Ko kalo nak balik tak ganggu aku boleh tak. Tak pasal-pasal idea dah terbang jauh." Saja aku usik Danial yang tidak menampakkan tanda untuk masuk ke bilikku. Masih berdiri bersandar di pintu. Cermin mata yang dari tadi melekat di batang hidung aku buka. Baru terasa sakit kepala bila dahi sudah berdenyut.

"Dah la tu wei.. Jom.. Pekena Nescafe ais pun sedap gak ni" Ajak Danial lagi. Sempat lagi dia menarik liur sambil wajahnya tersenyum lebar membayangkan nescafe ais di depannya.

"Okey, tempat biasa and macam biasa. Ko pergi dulu. Aku nak ke tandas jap."

Aku pun melangkah ke tandas yang terletak di hujung bangunan ni. Jam di dinding ku pandang sekilas. 15 minit lagi nak pukul 10. Hanya bilik ku saja yang masih lagi menyala. Manakala bilik lain sudah pun malap. Cuma lampu ruang jalan yang menerangi tingkat 14 ni.

Terasa segar sikit bila selesai membasahkan kepala. Muka yang berkerut ku renung di dalam cermin dihadapanku. Nampak sangat mata yang sudah pun kepenatan. Rambut yang serabut sudah pun semakin panjang. Dalam hati sudah berfikir untuk singgah di mana-mana kedai gunting rambut. Mungkin sebab itu lah sakit kepala ni kerap datang. Kepala ku anggukkan bersetuju dengan akal fikiranku sendiri.

Tanpa menunggu lama selesai bersiap aku turun ke gerai mamak yang berdekatan dengan ofis dimana Danial sedang menunggu. Semakin malam semakin ramai pulak pengunjung gerai itu. Danial ku lihat sibuk dengan Ipad di tangan. Langsung tak menyedari kehadiranku sehinggalah kerusi ditepinya aku tarik. Mau tak terkejut. Melatah dia jadinya.

"Hoi... Bagi salam lah kalau ya pun.." Muka Danial yang cuak mengundang tawaku.

"Engkau, kalau dengan game memang tak sedar langsung awek kat hujung sana duk usha ko dari tadi." Laju juga kepala Danial berpaling melihat arah pandanganku. Tapi bila menyedari gurauanku, bahuku pula menjadi mangsa tumbukannya. Hampa agaknya bila melihat lelaki lembut yang sedang tersenyum sambil mengelip-ngelip matanya berulang kali. Nasib kaulah Danial jadi pujaan lelaki lembut tu. Mana tidaknya, setiap malam pasti lelaki lembut itu turut hadir di restoran ni.

*****

Lega bila melihat katil dihadapanku. Badan yang letih terus ku humban ke atas katil. Nikmat rasanya bila dapat melepaskan penat di atas katil. Seketika sunyi yang dirasakan sangat mendamaikan hati. Namun sekejap itu ketukan di pintu menendang jauh kedamaian yang baru dirasakan. Rengusan kasar ku lepaskan. Jam ditangan ku lihat. Mendengar ketukan yang semakin kuat, perlahan aku bangkit dan menuju ke pintu lantas membukanya.

Mataku menangkap wajah jernih dihadapan yang tersenyum manis. Rambut yang pendek layer membuatkan raut wajah itu kelihatan lebih muda. Matanya pula bundar melihatku yang jauh lebih tinggi darinya. Perut yang sedikit memboyot ku perhatikan.

"Awak baru balik?"Soalnya yang aku rasa mencetuskan rasa marah yang terkawal dari tadi.

"And?" Nada tidak puas hati ku berikan kepadanya. Begitu juga muka ku yang pasti sudah kerut seribu.  Wajah itu masih lagi kelihatan tenang. Muka bosan ku pamerkan.

"Awak dah makan?" Sambungnya lagi.

"Yes. Ada apa-apa lagi?" Soalku kali ni dengan berniat untuk mematikan perbualan kami. Katil di dalam bilik terasa melambai-lambai.

"Awak dah Isyak?" Agak teragak-agak dia untuk mengeluarkan pertanyaan kali ini. Laju itu juga tanganku menutup pintu siap mengunci selak yang terdapat didalam bilik. Yang aku tahu, aku cuma mahu berehat selepas letih seharian bekerja. Namun bayangan wajah jernih itu tetap hadir di ruang mata. Lantas aku bangun membersihkan diri dan seterusnya mengerjakan kewajipan yang hampir saja aku sengaja tinggalkan. Dan sebaik saja kepalaku mencapai bantal, dalam tak sampai beberapa saat aku sudahpun dibuai mimpi.

*****

Tok tok tok...

Bunyi ketukan di sebalik pintu sekali lagi menganggu tidurku. Perlahan-lahan mataku buka, tangan mencapai jam yang terletak ditepi katil.

7.50am

Dalam mamai, mataku tutup semula ingin menyambung tidur. Sesaat cuma, tindakan automatik bila terlompat bangun melihat semula jam yang masih ditangan. Secepat itu juga aku meluru ke pintu dan mengambil baju kemeja yang sudah tergantung di luar bilik. Sudah kemas bergosok. Rutin harian Azira yang akan menyediakan pakaianku untuk ke pejabat.

Awalnya aku menegah dia dari terus menyediakan pakaian untukku. Namun perempuan itu sungguh degil. Tetap menyediakan pakaianku. Dulu dia akan mengantungkan baju yang siap bergosok didalam bilik. Tetapi bila sahaja Azira melihatku hanya bertuala, pantas peraturan baru ku buat. Dia dilarang sama sekali untuk masuk bilikku bila saja aku ada didalam bilik.

Selesai mandi dan mengqhada subuh yang terbabas. Mataku bulat menangkap baju kemeja berwarna pink di atas katil. Langsung tidak ku perasan ketika mengambilnya tadi. Mahu saja nama perempuan itu ku teriak. Tapi mulutku tertutup geram bila melihat jarum minit sudah berada di nombor 4.

"Why must pink laaa aihh.." Sambil mengomel, sambil itu juga aku sarungkan kemeja yang sangat menyakitkan mata itu. Dalam terpaksa, aku kena juga pakai baju itu sebab tidak mahu terlambat untuk ke meeting pukul 10 pagi ni. Di kepala sudah terbayang baris kereta yang tentunya berlambak di atas jalan ketika ini. Berlari-lari anak aku turun ke bawah. Pintu sudah pun siap terbuka manakala kasut yang sudah tersedia di depan muka pintu. Sambil duduk, stoking ku sarungkan secepat yang mungkin.

"Awak, breakfast" Azira tepat-tepat muncul disisiku bila aku selesai memakai kasut. Beg kertas berwarna coklat bertukar tangan. Tangan ku disalam dan diciumnya. Masih dengan senyuman.

"Last warning. No more pink after this!" Tegas arahan ku sambil membetulkan cermin mata. Geram melihat senyuman di bibir Azira. Suka melihatku memakai baju pink. Langkah ku hala ke kereta dan tanpa menoleh kebelakang, aku tinggalkan rumah.

*****

Bila melihat kereta warna hitam Iman menghilang, pintu pagar ku tutup. Memandang rumah dua tingkat di hadapan dengan sayu. Senyum yang dari tadi hadir sudah pun terpadam. Sungguh, aku tak kisah dengan layanan Iman Rifqi terhadapku. Malah aku berterima kasih dengan pertolongannya untuk menikah denganku. Itu lebih dari cukup. Bukan setakat itu, dia turut memberikan aku perlindungan tinggal bersamanya. Makan pakaiku semuanya dia tanggung walaupun sebenarnya dia boleh saja abaikan aku.

Perut yang sudah lebih 6 bulan ku usap lembut. Lagi 3 bulan saja lagi baby ini akan mengenal dunia. Sungguh, aku takut untuk memikirkan nasib baby ini kelak. Aku tahu, dalam kasar Iman Rifqi, dia masih melindungi diriku dan bayi yang ada dalam kandungan ini. Walaupun bayi ini bukanlah zuriatnya. Tapi aku tak dapat bayangkan selepas kelahiran bayi ini, mahukah Iman Rifqi tetap membenarkan kami untuk tinggal dengannya. Satu kesilapan sangat aku kesalkan. Untuk sekian kalinya, airmata tetap menitis.

Dengan perut yang sarat, berhati-hati aku menaiki tangga menuju ke bilik Iman. Lucu melihat bilik yang tidak terkemas tertera dimata sebaik sahaja bilik itu terbuka luas. Dapat ku bayangkan betapa kelam kabutnya dia pagi tadi. Dengan sejadah masih lagi di lantai, katil yang terhambur sana sini, tuala yang tersadai di atas lantai. Kepala hanya mampu ku gelengkan.

"Awak tak perlu kemas bilik saya!" Tegas suara Iman suatu ketika dulu. Berkerut kening kawan tu bila balik saja dari kerja, masuk bilik sudah pun terkemas. Bagai bergegar rumah dua tingkat itu bila dia berlari mencariku yang berada di dapur ketika itu.

"Saya ada banyak masa luang. Jadi saya kemaslah." Balasku tanpa takut memandang mata sepet disebalik kacamata itu. Mukanya yang putih kelihatan kemerahan.

"Awak ni degilkan?"

"Ya, itu nama tengah saya" jawabku sambil tersenyum menampakkan gigi. Teringat mukanya yang bertambah masam dan berlalu meninggalkan aku.


Ingatan masa lalu menerjah ke ruang ingatan. Iman Rifqi, lelaki yang hanya mengeluarkan suara emasnya bila hanya ada hal penting saja. Untuk berbual mesra denganku, lelaki itu lebih suka berdiam. Enam bulan hidup bersama Iman Rifqi cukup untuk mengenali dia sebagai lelaki yang pendiam, tidak banyak bercakap dan cukup sesuai dijadikan patung untuk menjadi model pakaian di butik-butik pakaian.

Dalam sibuk mengemas bilik lelaki itu, telingaku menangkap bunyi ringtone dari meja solek lelaki itu. Kelihatan telefon lelaki itu berkelip-kelip. Timbul perasaan untuk mengambil telefon itu dan mataku laju membaca message yang baru saja diterima.

Happy birthday sayang..
Miss u 
~Zara

Message itu berulang kali ku baca. Aku tak tahu perasaanku ketika ini. Sedih, marah atau cemburu.

Iman Rifqi ada kekasih?

Aku tergelak bila menyedari siapa aku pada Iman. Laju ku buang jauh perasaan yang bertandang. Dia berhak mendapat yang terbaik. Dia lelaki yang terbaik pernah aku jumpa. Dan kebahagiaan sepatutnya dia miliki sudah tentunya bukan dengan aku. Mungkin selepas saja bayi ini lahir, aku perlu meninggalkan rumah ini. Aku perlu bersedia.

Selesai menyidai kain di belakang rumah aku duduk berehat di ruang tamu. Sedikit lelah membuat kerja dengan menanggung kandungan yang terasa semakin berat. Segala pergerakan pun terasa semakin lambat.

Iman Rifqi pernah melarangku untuk membuat kerja-kerja di rumah ini. Katanya akan mengupah orang gaji untuk membersihkan rumah. Tapi aku melarangnya keras. Kalau semua kerja rumah orang gaji yang buat takkan aku nak goyang kaki saja duduk dirumah ni. Aku rasa boleh mati kebosanan.

Setelah mengugutnya untuk keluar dari rumah sekiranya dia mengambil orang gaji, akhirnya Iman Rifqi mengalah. Tapi yang menjadi peliknya, setelah kejadian itu, dia jarang membuat semak. Kalaupun yang semak itu hanyalah didalam biliknya saja. Pinggan cawan yang dia gunakan pasti dibasuhnya selepas menggunakannya. Jadi kerja ku cukup mudah untuk mengemas rumah itu yang sudah lagaknya seperti muzium.

Bunyi kipas di siling terganggu bila deringan telefon ditepi tangga berteriak minta di angkat. Agak payah untuk aku berdiri secara tiba-tiba bila penat menguasai diri. Sambil berpaut pada sofa, aku melangkah perlahan ke arah telefon. Aku baru saja ingin berpatah balik bila deringan sudah pun putus. Tetapi telefon itu berbunyi kembali.

"Assalamualaikum.."

"Waalaikumussalam, Awak kenapa lambat sangat jawab telefon?" Suara tegas Iman Rifqi menusuk ketelinga.

"Er.. Saya ada dekat dapur" Bohongku. Padahal dekat saja sofa yang ku duduki dengan telefon. Tapi kesukaran untuk berdiri mengambil masa untuk menjawab panggilan itu.

"Oh. Ada nampak telefon saya tak dekat bilik?" Soalnya lagi mempercayai tipuku.

"Ada. Awak tertinggal ye pagi tadi?" Soalku kembali cuba berbual mesra dengannya. Dapat aku bayangkan muka lelaki itu sedang berkerut seribu.

"Ok, i just want to make sure" Datar suara Iman. Akhirnya kami masing-masing terdiam.

"Awak... " Tiba-tiba mulutku memanggilnya tanpa sedar.

"Yup?" Jawabnya laju. Kedengaran bunyi ketukan keyboard laptop yang tak henti dari Iman. Mungkin dia sedang sibuk. Bila aku diam tidak meneruskan ayat, sebenarnya tak tahu nak cakap apa. "I'm hanging up now. Jangan lupa makan. Take care!"

"Err.. Awak. Selamat hari lahir" Ucapku disusuli dengan bunyi 'toot toot toot' tanda panggilan sudah pun terputus.

Gagang telefon ku lihat bila saja panggilan sudah diputuskan. Sambil tersenyum kepala ku gelengkan. Untuk apa ucapan itu Azira. Perlukah? Namun senyuman tetap terukir bila mendengar ayat akhir dari Iman. Lelaki itu dalam kasarnya tetap mengambil berat.

Di sebabkan kebaikan Iman Rifqi, semangat aku untuk memasak kek untuknya. Sempena hari jadi yang keberapa pun aku tak tahu. Tapi aku tak tahu kek kegemaran lelaki itu. Dalam otak sudah terbayangkan kek coklat. Tapi itu pun sebab aku yang suka makan kek coklat. Teringinlah pulak nak makan kek coklat. So, kita berdoa sajalah Encik Iman Rifqi suka makan kek coklat. Mengidam punya pasal. Alahai Azira.

Setelah selesai membeli bahan-bahan untuk memasak kek, petang itu aku habiskan masa di dapur menggilap balik kemahiran membuat kek yang lama ku tinggalkan.

*****

Bunyi dentingan jam di dinding menyedarkan aku dari lena. Pukul 11 malam. Kelibat kereta Iman Rifqi masih tidak kelihatan. Tapi mengingatkan message dari wanita lain di telefon Iman pagi tadi aku mengagak kalau dia menyambutnya dengan kekasihnya itu.

Tentu saja dia pulang lewat. Hatiku berkata.

Tapi entah kenapa aku masih lagi duduk diruang tamu menunggu kepulangannya. Seperti hari-hari sebelum ni. Kadang-kadang Iman Rifqi yang kejutkan dan menyuruh aku untuk tidur di bilik bawah yang memang tersedia untuk aku. Kadang-kadang bila terlalu lewat, aku hanya menunggu dan memasang telinga didalam bilik mendengar kepulangan lelaki itu. Cuma sejak akhir-akhir ini, kalau jam belum lepas dari pukul 12, kelibat lelaki itu tidak kelihatan. Pasti sibuk dengan kerja. Duga hatiku.


"Nampaknya malam ini pun dia balik lewat" Aku bermonolog sendiri. Sudah berkira-kira untuk melangkah masuk ke dalam bilik. Tersenyum sendiri mengenang kelakuan yang tidak sepatutnya aku buat.

*****

Sesudah mengunci pintu, badan yang keletihan ku labuhkan ke sofa dan terus berbaring menatap siling. Ekor mata beralih melihat bilik Azira. Tiada cahaya lampu yang kelihatan di bawah pintu bilik.

‘Er Awak, selamat hari lahir..’ Ucapan yang sempat ku dengar sebelum mematikan talian. Gagang yang masih ditangan ku perhatikan. Berfikir andai aku tersalah dengar. Jari yang satu ini pun laju saja menekan butang menamatkan talian. Peristiwa siang tadi bermain difikiran. Dimata pula terbayang wajah Azira yang sedikit tembam dengan rambut yang pendek. Comel.

Dengan malas, aku membangunkan diri dan laju menapak ke bilik. Seperti biasa, bilik yang tadi ku tinggalkan terhambur sudah berkemas. Perempuan itu walaupun banyak kali di larang tetap juga mengemas bilik ini.

“Awak dah isyak?”  Suara gemersik yang selalu mengingatkannya tentang solat terlintas di fikiran. Bila melihat ke arah pintu, terbayang wajah jernih itu sedang tersenyum.

“Ya.. ya.. Isyak isyak..” Aku bermonolog sendiri bila mengingatkan diri yang masih belum menunaikan solat isyak. Sesudah membersihkan diri dan bersolat, kaki ku hayunkan turun ke tingkat bawah lalu menuju ke dapur. Tekak yang dahaga minta di isi.

Sebaik saja membuka peti sejuk, terpampang kek coklat yang terhias kemas. Kepala ku beralih seolah-olah tembus melihat Azira yang sedang tidur di dalam biliknya. Jadi betullah telingaku yang mendengar ucapan selamat hari jadi dari Azira. Dengan berhati-hati kek itu aku keluarkan dan ku letakkan di atas meja diruang tengah dapur.  

“Sedapnya” Kek yang ada di tangan cepat saja ku sumbat ke mulut. Sedap tak terkatalah katakan. Makan punya makan sampai suku aku habiskan. Jari yang masih bersisa krim ku jilat sambil tersenyum. Pelik. Aku bukan suka sangat makan manis-manis ni. Sedangkan tadi pun, kek yang dibeli oleh Zara hanya ku makan dua sudu. Itu pun setelah puas Zara memaksaku makan kek tersebut. 

Pelik dengan perangai sendiri, tangan yang kotor ku basuh dan berlalu naik ke bilik. Tapi langkahku mati dihadapan bilik Azira. Pintu yang tidak berkunci itu ku buka. Kelihatan Azira yang sedang berselimut. Tidur. Teragak-agak aku untuk masuk ke dalam bilik itu. Namun melihat wajah Azira yang tenang mengundang langkah kaki ku mendekatinya. Mataku menangkap perut yang jelas kelihatan. Tangan ku dekatkan dan menyentuh perut itu. Sesuatu yang selalu ingin aku lakukan bila saja melihat Azira. Tapi tidak pernah ku lakukan. Cuma kali ini saja berkesempatan. Itupun sentuh curi sebab Azira tak sedar. Teruja bila terasa pergerakan di permukaan perut Azira walaupun berlapis dengan selimut nipis. Tidak cukup itu, telinga ku tekapkan di atas perut Azira. Tersenyum lebar bila pergerakan baby didalam perut terasa. Perlahan perut itu ku usap.

“Baby tidur ya sayang. Sian dekat ibu..” Perlahan aku bersuara seolah-olah sedang berbual dengan baby. Namun pergerakan itu tetap terasa. Bimbang jika Azira terjaga.

“Okay, Abah teman tidur ya. Tak mau buas okay..” Tersenyum melihat perut seolah-olah melihat muka baby. Sambil duduk di tepi katil, tangan masih ku letak di atas perut. Merasa pergerakan baby yang sudah kurang aktif. Sesekali wajah Azira yang disinari lampu meja ku perhatikan.

Gila. Aku buat kerja gila.

*****

Suara Azan Subuh yang berkumandang menyedarkan aku dari tidur.

“Terima kasih ya Allah kerana menghidupkan aku sesudah matiku” Ucapku perlahan. Bersyukur kerana dihidupkan lagi hari ini. Bersyukur kerana masih diberikan waktu untuk menebus dosa yang selalu menganggu ketenanganku. Mataku menangkap susuk tubuh yang sedang duduk di tepiku. Setelah memejam celik mata berulang kali, barulah jelas wajah Iman yang tertidur. Terkejut melihat tangannya diatas perutku. Kemudian muka lelaki itu yang tenang ku perhatikan.

“Ya Allah.. Awak.. Awak.. Bangun” kejutku sambil mengoyangkan bahu lelaki itu. Tak lama. Matanya terbuka. Kesian melihat dia tidur sambil duduk. Pasti meletihkan.

“Subuh dah ke?” Soal lelaki itu. Seolah-olah tidak menyedari perlakuannya. Kemudian dia bangun sambil mengeliat. Tingkah lakunya hanya kuperhatikan. Ingatkan dia terus berlalu keluar, tapi badannya ditundukkan sikit manakala tangannya mengusap lembut perutku. “Baby jangan nakal-nakal tau hari ni. Sian dekat ibu. Okey abah nak siap-siap pergi kerja.”  

Bulat mataku mendengar bicaranya sambil melihat perutku. Perlahan, tapi cukup jelas ditelingaku. Tidak cukup itu, satu ciuman singgah diperutku. Sambil menguap berkali-kali dia melangkah keluar. Masih terhuyung hayang. 

“Sah, mamai lagi” Tergelak aku melihat perangai lelaki itu.  Tidak pernah-pernah dibuatnya masuk kebilik ku, tidur sambil memegang perutku, mencium perutku, berbual dengan baby. Tangan ku yang mengambil alih tangan Iman berhenti dari mengusap perutku.

Airmata yang kutahan mengalir jua. Masih terkejut dengan apa yang lelaki itu lakukan. Sesuatu yang mungkin sering ku bayangkan, bila Iman dapat menerima diriku dan baby yang masih di dalam perut. Sesuatu yang selalu ku angankan untuk lelaki itu menggunakan kata ganti diri abah untuk babyku yang bakal lahir tak lama lagi. Tapi mengenang tingkah laku lelaki itu, semuanya pun aku tepis jauh. Terasa diri terlalu mengharapkan sesuatu yang bukan milik ku.

Tapi bila semua ni terjadi di depan mataku, aku rasa sangat sedih. Kalau dulu aku boleh saja tergelak mengatakan diri bodoh mengharapkan sesuatu yang belum pasti. Tapi kini, untuk apa semua ni Iman Rifqi?

*****

"Awak, cake dlm peti sejuk tu memang untuk saya kan?" Iman Rifqi yang duduk di meja ku perhatikan. Soalannya hanya ku jawab dengan senyuman sambil menganggukkan kepala. Kepalaku pula pening memikirkan kejadian subuh tadi. Tapi melihat Iman yang bersahaja, tahulah lelaki itu sudah pun terlupa akan perbuatannya itu.

"Oh nasib baik, saya dah habiskan suku dari kek tu." Jawabnya bersahaja. Kalau mood lelaki itu elok, bolehlah berbual elok dengan aku. Bila mood dia tak betul, cukup hanya dengan tiga ayat untuk dia matikan perbualan kami. Dan hari ni, muka Iman nampak ceria. Tapi tak tahu sebab apa yang menyebabkan dia seceria itu.

"Memang saya buat untuk awak pun. Sedap kan?"

"Awak buat? Sedaplah kot. Sebab saya jenis tak makan manis, ni sampai suku saya habiskan. Memang sedap la tu." Ujarnya sambil tersenyum. Mata yang sepet itu jadi semakin sepet. Seolah-olah tertutup. Raut wajahnya yang tersenyum ceria cepat ku set di otak. Satu riak yang sukar sebenar untuk Iman pamerkan.

Bila Iman sudah berdiri, tangan yang penuh sabun ku basuh dan kain lap yang tergantung di depan tingkap ku capai dan laju mengeringkan tangan yang basah. Pantas aku mengekorinya ke pintu hadapan. Hari ini dia segak memakai baju kemeja berwarna kuning cair. Warna kesukaanku. Selesai mengenakan kasut, dia berdiri menghadapku. Tangan ku sua untuk bersalam. Agak lama dia berdiri merenungku. Sesekali matanya turun melihat perutku.

"Take care. Apa-apa jadi kol saya" Pesannya kemudian berlalu pergi.

1 2 3.. Hampa. Iman tetap berlalu tanpa menoleh belakang. Kereta itu laju menghilang. Pintu pagar ku tutup dengan berhati-hati.

"Sayang" Suara lelaki diluar pagar mematikan niatku untuk bergerak masuk ke dalam rumah. Khairil di luar pagar membuatkan rentak jantungku berubah laju. Lelaki yang tinggalkan aku seorang diri bila saja hasil perbuatan terkutuk kami menyebabkan bayi ini wujud dirahimku.

"Sayang abang minta maaf sangat-sangat. Dulu, Abang tak kuat. Abang takut keluarga abang buang abang bila tahu dosa yang abang buat. Abang tak sanggup. Tapi abang silap, Abang perlukan sayang dalam hidup abang. Abang tak mampu nak teruskan hidup tanpa sayang. Abang tak sanggup" Lelaki itu sudah pun melutut bersama dengan juraian air mata yang tidak berhenti. "Sungguh, Abang tak mahu kehilangan sayang dan anak kita" Sambungnya lagi. Airmata lelaki yang sukar untuk aku nafikan kepalsuannya. Khairil benar-benar menyatakan rasa bersalahnya meninggalkan aku dahulu.

Air mata ku turut mengalir laju. Apa yang perlu aku lakukan? Menanti cinta yang belum pasti? Atau menerima cinta yang dulu pernah mekar. Tapi dalam masa yang sama ragu andainya kejadian ini berlaku kembali. Tapi bila melihat keadaan Khairil, aku tahu dia benar-benar telah berubah. Dia betul-betul ingin menebus kesalahannya.

Dalam masa yang sama, fikiranku menerawang mengingati Iman. Perlukah aku menanti cinta darinya. Akan adakah cinta darinya untuk aku. Kejadian subuh tadi sekali lagi terlintas difikiran. Sungguh, satu perasaan sangat aku harapkan akan hadir di dalam hati Iman Fiqri. Cinta untuk diriku, kasih sayang untuk anakku yang bakal lahir. Tapi, betulkah itu untuk aku. Bukankah Iman ada Zara? Siapa aku bagi dirinya.

"Izinkan abang untuk tebus kesalahan yang telah abang lakukan. Abang tahu semuanya salah abang. Abang bersalah tinggalkan sayang. Abang minta satu ja Sayang. Abang minta peluang untuk betulkan semuanya." Suara Khairil sekali lagi kedengaran. Kali ini dengan riak serius.

Mata yang dari tadi melihat Khairil ku pejam. Ya Allah, kenapa wajah itu yang muncul. Wajah Iman yang kelihatan tenang. Terus ku buka mata melihat Khairil. Matanya yang merah benar-benar mengharap penerimaanku.

*****

Dingin. Melihat Khairil dan Iman yang saling duduk bertentangan. Manakala aku duduk di antara mereka. Sudah lebih 30 minit mereka bertentangan mata. Satu perkataan pun belum kedengaran. Kadang-kadang rengusan kasar kedengaran dari Iman. Aku pula tidak berani untuk melihat mereka. Sama ada Iman mahupun Khairil. Aku takut bila aku melihat Iman, hatiku berat untuk meninggalkan dia. Dan aku takut bila melihat Khairil, keputusan yang aku buat akan terjejas. Aku takut kepercayaanku terhadapnya tergugat.

"Aku tahu perjanjian kau dengan Azira. Azira minta kau nikah dengannya dan akan bercerai selepas sahaja dia melahirkan anak." Suara Khairil memecah sunyi. Mata Iman laju melihatku.

"Aku berterima kasih dengan kau sebab dah bersusah payah tolong Azira selama 6 bulan ni. Tapi aku minta kau lepaskan dia. Aku akan bertanggungjawab dengan kesalahan yang aku buat." Khairil masih tenang mengeluarkan rasa hati untuk mengambilku semula. Mata Iman masih lagi melekat dimuka ku.

"Azira, ikut saya" Terkejut mendengar namaku dipanggil oleh Iman. Langkah kakinya bergerak menuju ke belakang, ke dapur. Perlahan aku menuruti arahan Iman. Khairil yang nampak tenang ku pandang sekilas. Kakiku terus melangkah. Sesampai di dapur, kelihatan Iman berdiri di depan sinki sambil membuang pandang keluar jendela.

"Awak percaya dengan apa yang dia katakan? Selepas apa yang dia dah buat pada awak. Awak ingat tak dulu awak sampai nak hilang nyawa disebabkan lelaki tu." Iman bersama dengan jelingan tajamnya. Mukanya ku perhatikan. Memang betul dia nampak risaukan aku.

"Setiap orang perlukan peluang ke2 bukan. Macam yang awak berikan pada saya" Ujarku setenang yang mungkin.

"Azira, saya risau kalau dia tinggalkan awak lagi."Diam. Aku sendiri takut kalau betul Khairil akan tinggalkan aku sekali lagi.

"Saya rasa mungkin ini yang terbaik. Lepas ni pun kalau baby dah keluar awak pun akan tinggalkan saya bukan?" Bersama tawa nipis, aku melihat Iman yang merenungku sayu.

"Awak yakin dengan keputusan yang awak buat ni?"

Satu anggukan untuk menjawab soalan terakhir dari Iman. Tanpa menunggu lama, aku terus beredar dari ruang dapur yang terasa menyesakkan dada.Sesak juga perasaanku kala itu. Mata yang mula berkaca ku tahan sehinggalah masuk ke dalam bilik.

"Ya Allah.. hamba mu ini perlukan petunjuk dari mu Ya Allah. Betulkah jalan yang aku pilih ni ya Allah." Ruang bilik ni ku perhatikan. Terhenti tatkala melihat Iman yang masuk ke bilikku.

"You know what, you dont have to do this." Lembut suara Iman. Perlahan dia mendekatiku. Pipi yang basah dengan airmata di sapu menggunakan ibu jarinya. Mendengar suaranya yang lembut mengundang tangisku untuk terus mengalir. "Please stay here with me. Let me take care of you" Pandangan matanya menusuk jauh kedalam mataku.

Aku cintakan dia. Iman Rifqi yang sedang menatap wajahku dengan pandangan sayunya.

"Tak, awak patut bahagia dengan pilihan awak. Bukan saya" Akalku seakan celik bila melihat wajah Iman dalam jarak yang cuma sejengkal. Betul, aku tidak mahu meninggalkan dia. Tapi aku juga tak sanggup untuk terus bermain dengan perasaan yang sedang beraja dihati. "Saya percaya Khairil dah berubah." Senyuman cuba ku berikan pada Iman.

"Jadi untuk apa tangisan tu?" Terpinga sebentar aku mendengar soalan Iman. Renungan yang diberikannya betul-betul membuat degupan jantungku berkocak hebat.

"Sebab dah tak dapat kenakan awak pakai kemeja pink lagi lepas ni kot" Ketawa yang ku buat-buat berjaya menarik senyuman sumbing dibibir Iman. Beg roda berwarna kuning cair ku tarik keluar dari bilik menuju ke ruang tamu. Khairil tersenyum melihatku.Aku berlalu dan berdiri di sisinya berpaling melihat Iman di hadapan kami.

Kenapa baru saja aku terasa gembira duduk bersama dengan Iman semua ni perlu berlaku? Kenapa Khairil tak datang cari aku lebih awal sebelum perasaan sayang terhadap lelaki dihadapan ku ini muncul. Kenapa lelaki itu tetap juga bersetuju dengan kemahuanku. Sama ada paksaanku untuk dia mengahwiniku dan kemahuanku untuk kembali bersama dengan Khairil. Kenapa semua dia turutkan?

Pelbagai soalan muncul di ruang fikiran tatkala melihat muka Iman yang kelihatan tegang. Bila melihatku, ada sayu dipandangannya. Aku tak tahu sama ada semua yang aku lakukan ini jalan yang terbaik bagiku. Akan adakah sinar bahagia untuk ku?

*****

"Saya minta maaf andai pernah berbuat salah dekat awak. Halal makan minum pakai saya. Terima kasih sebab sudi hulurkan pertolongan disaat saya benar-benar buntu. Saya takkan mampu untuk membalas semua jasa awak."

Kereta Khairil sudah laju meninggalkan taman perumahan ini. Azira sudah pun pergi meninggalkan aku kembali bersama Khairil. Melihat rumah dihadapanku, tiba-tiba perasaan kosong menguasai hati. Terasa cepat sangat semua ni berlaku.

Dari pertemuan pertama Azira yang cuba membunuh diri dan tertangkap olehku. Permintaannya yang sangat menguji akal logicku bila dia meminta aku untuk mengahwininya. Aku sendiri pelik bagaimana aku boleh bersetuju dengan permintaannya. Hari-hari seterusnya bila Azira yang sebenarnya seorang yang sangat degil suka membuat benda yang aku larang. Semua benda pun dia nak buat dalam rumah ni walhal aku risau akan kandungannya bila dia terlalu penat menguruskan rumah dua tingkat ini. Tapi dia tetap degil.

Rumah terasa bercahaya bila turut dihuni oleh Azira. Dapur yang jarang berasap kini telah bertuan. Kalau dulu aku tidak mengambil berat akan sarapan pagi, tiap hari pasti tersedia makanan di atas meja. Aku rasa sudah terbiasa dengan kehadiran Azira. Makan minum pakaiku semua dia sediakan dengan cukup baik. Malah senyuman langsung tidak lekang dari mulutnya walaupun aku selalu membalasnya dingin.

Mungkin bersama Khairil dia akan lebih bahagia. Memang betul perbuatannya dulu meninggalkan Azira memang tidak boleh dimaafkan. Tetapi keberaniannya untuk datang mengambil Azira dariku secara bertentang mata cukup untuk aku percaya bahawa dia benar-benar ingin menjaga Azira. Apa yang perlu aku lakukan kalau itu memang kehendak Azira. Walaupun tangisnya tadi membuatkan aku tidak ingin melepaskan dia. Tapi, dia tetap dengan keputusannya. Keputusan yang aku hormati. Hinggalah tadi. Dia langsung tidak berpaling melihat aku di belakang.

******

"Wey balik lah wei.. Kerja sampai kiamat pun tak habis laa..." Danial di hadapan pintu menghentikan pergerakan jari jemariku. Ayat yang dah boleh di jangka dari Danial.

"Lain kali ko tak payah sebut ayat tu. Tengok muka kau aku dah tahu dah"

"Haha.. Okay. Aku gerak dulu" Danial terus menghilang sambil mengangkat tangannya.

Cermin mata ku buka dan letakkan di atas meja. Mata ku pejam lama sambil jariku mengurut perlahan batang hidung. Jam baru pukul 8 malam. Balik awal pun tiada siapa yang menunggu dirumah. Dulu bila Azira ada aku selalu juga balik lewat. Kadang hanya dapat melihat mukanya waktu pagi. Satu yang aku kesali.

Deringan telefon menyedarkan aku dari ingatan 5 bulan yang lalu.5 bulan. Azira pasti sudah melahirkan anak. Pasti baby itu comel persis Ibunya. Tersenyum sendiri membayangkan wajah baby Azira. Tapi sayang. Satu nombor pun dia tak tinggalkan untuk dihubungi. Pemergian Azira melangkah keluar dari rumah betul-betul bermakna keluar dari hidupku. Hurm..

"Sayang"
"Dont sayang-sayang me Zara."
"Haha, Okay. Teman I malam ni?"
"Again. Buah hati pengarang jantung U mana? Nanti tak pasal-pasal dia serang I pulak asyik teman U"
"Dia outstation la U. I boringlah makan sorang-sorang ni. Kalau U tak mau teman I takpa la."
"Okay lah. Nanti I ambil U. After Isyak is it ok?"
"Okay. Thanks sayang."
"Zara!"

Geleng kepala dengan perangai Zara. Teman rapat sejak universiti. Begitu juga dengan Raihan, kekasih hati Zara. Tersenyum mengingatkan perangai Zara yang memang manja dengan sesiapa pun. Sampaikan dengan aku pun Raihan boleh cemburu walaupun sebenarnya kami bertiga memang rapat. Boleh dicatatkan dalam buku sejarah kerana sejak perkenalanku dengan Raihan, tidak pernah pun berlaku pergaduhan antara kami. Dan disebabkan oleh Zara habis pecah pipiku ditumbuk Raihan gara-gara cemburu tahap melampau dari lelaki itu. Zara yang terkejut melihat pergaduhkan kami laju saja berdiri di tengah kami. Tangannya laju melempang muka Raihan. Terus kaku lelaki itu bila mendengar jeritan halus dari Zara.

"Saya hanya cinta awak soranglah bodoh!"

Masih jelas muka Raihan yang tergamam mendengar jeritan Zara. 


Malas memanjangkan fikiran, aku mengemas meja yang sedikit terhambur. Setelah berpuas hati, sambil menggalas beg hitam aku berlalu menuju ke arah lif. Berkira-kira untuk singgah di mana-mana masjid yang berdekatan untuk menunaikan solat Magrib yang sudah lama masuk. Pekat malam yang disinari cahaya lampu jalan tidak kurang dengan lampu kereta yang entah kemana saja hala tujuan mereka.

Masjid Bandar yang besar ini ku perhatikan sambil menunggu waktu isyak yang hanya beberapa minit lagi. Warna putih kehijauan menjadi warna utama dalam masjid ini. Kelihatan beberapa pengunjung yang datang dan pergi selepas selesai menunaikan tanggungjawab kepada pencipta. Ada yang sedang mengaji, dan ada juga yang sedang terbaring melepaskan kepenatan setelah siang hari mencari rezeki. Duduk berteleku di situ menghadirkan rasa damai di hati. Tidak lama selepas itu, azan berkumandang menandakan waktu solat isyak telah pun masuk.

Selesai saja Imam menghabiskan bacaan doa, kami saling bersalaman antara jemaah. Dalam bersalaman kelibat lelaki yang baru saja berpaling ingin keluar aku pandang sepintas lalu.

"Khairil!" Panggilanku yang tiba-tiba saja keluar dari mulut mematikan langkah kaki lelaki itu. Bila saja melihat muka ku, terus terukir senyuman dibibir lelaki itu.

"Kau. Tak sangka boleh terjumpa dekat sini." Ucapnya sambil menyambut salam yang ku berikan. Kami kemudian berlalu keluar dari masjid untuk mengelakkan perbualan kami menganggu mereka yang sedang bersolat ketika itu.

"Azira apa khabar?" Soalku laju ingin mengetahui keadaan wanita itu. Riak mukanya yang berubah dapat ku tangkap. Terdetik rasa tidak senang dalam hati. Jangan berlaku sesuatu yang buruk sudah.

"Aku pun tak tahu" Terdengar sisa keluh yang keluar dari mulut Khairil. Ruang legar yang suram sesuram wajah lelaki itu dihadapanku.

"Apa maksud kau?"

"Selepas saja kami keluar dari rumah kau 5 bulan yang lalu, kereta yang aku pandu hilang kawalan dan kami kemalangan malam tu."

"Ya Allah.."

"Azira selamat, tapi kandungan dia tak dapat diselamatkan." Suara Khairil sudah kedengaran berat. Matanya sudah pun berkaca. Aku turut terkejut dengan berita yang dia sampaikan. Baby yang menjadi kekuatan untuk Azira teruskan hidup sudah pergi meninggalkan dia. Bagaimana keadaan wanita itu sekarang.

"Dia ok?" Soalku lagi.

"Aku tak tau. Dia pun dah lari tinggalkan aku sendiri. Aku dah nak gila mencari dia selama ni."


Terbayang muka keruh Khairil yang meminta diri tadi. Tak sangka kejadian yang menimpa Azira. Keluhan berat ku lepaskan. Dimana dia sekarang. Kenapa dia buat macam ni. Kenapa dia tak cari aku. Risau bila memikirkan Azira diluar sana entah apa yang sedang berlaku terhadap wanita itu. Tapi dimana aku nak cari dia.

Telefon yang minta di angkat mengingatkan aku pada Zara yang sedang menungguku. Pantas aku berlalu dari perkarangan masjid dan laju menekan minyak menuju ke apartment Zara yang cuma bersebelahan dengan masjid ini.

"Lambat!" Komen pertama yang sampai di telingaku bila melihat Zara sudah berdiri di luar sambil menundukkan kepalanya memandang tajam ke arahku. "Disebabkan U lambat. Biar I yang drive and dinner malam ni biar I yang tentukan." Senyuman sinis jelas terukir di wajahnya. Aku hanya mampu menurut kehendak Zara dan berlalu keluar dari tempat duduk pemandu. Sepantas itu juga Zara masuk menggantikan aku. "Cepat-cepat. Terhegeh-hegeh!" Sekali lagi suara Zara kedengaran bila melihatku yang sudah bercekak pinggang melihatnya.

Dengan penuh cekap Zara memandu dengan tenang membelah jalan raya yang kini lengang dengan pengguna jalan raya yang lain. Bila masing-masing mendiam kan diri, fikiran ku kembali semula pada Azira.

Di mana dia sekarang?

*****

"Say aaaaa" Zara di hadapanku sudah sedia dengan sudu yang penuh dengan kek coklat sedia untuk menyuapku. Mata yang sepet terasa membesar melihat kelakuan Zara. Yup Restoran yang dipilih Zara merupakan restoran yang dipenuhi dengan perlbagai jenis kek. Walaupun malam sudah pun mendekati pukul 10.30 malam, pengunjung di restoran itu tetap boleh dikira agak ramai.

"Zara!" Marah dengan tindakan Zara yang tiba-tiba rajin ingin menyuapku. Kalau Raihan tengok ni mahu benjol kepalaku dibuatnya. Tergelak Zara melihat wajahku yang berubah kelat. Dia sengaja mengusikku. Sudu yang tadi disua ke mulutku dimasukkan ke mulutnya. 

"Sedap tau. Sedap sangat-sangat!" Ujarnya kemudian dengan riak muka tak boleh blah. Matanya terpejam seolah-olah menikmati kesedapan kek yang baru dimakannya.

"Perempuan memang tak boleh dipisahkan dengan benda manis." Aku hanya tersenyum melihat perangainya yang sedikit kebudak-budakan. Ingatanku terhadap Azira bila melihat kek coklat di depan Zara.

"Memang saya buat untuk awak pun. Sedap kan?"

"Awak buat? Sedaplah kot. Sebab saya jenis tak makan manis, ni sampai suku saya habiskan. Memang sedap la tu." 

Wajahnya kelihatan sangat comel bila berpaling melihatku dengan senyuman yang melekat dibibirnya. Tapi hari itu jugalah hari terakhir kami bersama bila Khairil muncul untuk mengambil Azira semula. Permulaan untuk hari-hari seterusnya yang kosong.

"Betul ni taknak rasa?" Suara Zara mengejutkan aku. Zara dihadapan ku lihat sedikit comot dengan mulut yang berbaki krim di atas bibir . Mengundang tawaku.

"Zara. U ni makan macam budak-budak. Umur dah nak 30 tapi makan kek pun masih lagi comot." Geli hati melihat mata Zara yang terkebil-kebil. Tangannya laju mencapai tisu dan membersihkan mulutnya. Manakala tanganku mencapai sudu yang terletak elok di pinggan Zara. Menyudu sedikit kek yang tinggal separuh di dalam pinggan dan pantas menyuap ke dalam mulut. Wajah Zara yang masih lagi memasamkan muka ku perhatikan. Tapi dalam otakku laju berfikir akan rasa kek yang baru saja lepas dari kerongkong. Kek di dalam pinggan ku capai sekali lagi dan terus ku sumbat masuk kemulut. Berulang kali sehinggakan Zara menjerit kecil bila melihat kek di pinggannya habisku makan.

Laju aku berdiri melangkah ke kaunter.

"Saya nak jumpa dengan orang yang masak kek ni" Perempuan di hadapanku bergerak melihat arah kek yang aku tunjukkan.

"Kenapa encik, ada yang tak kena ke?" Soal perempuan itu teragak-agak.

"No, saya cuma nak jumpa orang yang buat kek ni. Sedap" Wajah perempuan itu berubah kepada riak lega. Risau juga kalau-kalau ada masalah yang timbul. Laju dia bergerak ke belakang dan menolak pintu.

"Azira, ada customer nak jumpa." Teriak perempuan itu. Azira. Betulkah orang yang sama? "Kejap ya encik." Ramah perempuan yang memakai name tag Aisyah menegurku. Sekejap itu juga mataku menangkap muka Azira yang kaku di depan pintu melihat ke arahku.

Satu kebetulan yang mendamaikan hati. Aku dah jumpa dia semula.

******


p/s bersambung


No comments:

Post a Comment